Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12)
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjadi tonggak utama dalam usaha menyemarakkan kedudukan ekonomi Malaysia dan untuk memastikan Malaysia kekal pada landasan pertumbuhan yang disasarkan. Menekankan aspek-aspek penting, KSP RMK12 membina asas kejayaan dengan tema Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi, seiring aspirasi negara yang tercakup dalam Malaysia MADANI dan kerangka 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat'. Fokus utama RMK12 adalah untuk memperkukuh kemampanan, membangun masyarakat sejahtera, dan mencapai status negara berpendapatan tinggi. Fokus ini dibolehkan oleh pemacu utama RMK12 iaitu peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Inisiatif Kementerian Ekonomi
NETR: Mengubah ekonomi untuk memudahcara peralihan tenaga negara
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara menggariskan 10 projek penjana berdasarkan enam tonggak tenaga untuk mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia. Pelan ini menyasarkan penggunaan tenaga dari sumber rendah karbon, kerjasama tenaga antarabangsa, sasaran pelepasan karbon yang lebih ketat, pembiayaan pelaburan hijau untuk penskalaan teknologi yang lebih pantas dan mampan.
Zon Ekonomi Khas (SEZ): Mengukuhkan rangkaian dengan menghubungkan negara jiran
Jarak antara Johor dan Singapura yang berjiran mempunyai potensi yang besar untuk kedua ekonomi membina hubungan yang lebih rapat. Kerjasama yang lebih erat antara Johor dan Singapura boleh menawarkan peluang yang lebih luas untuk menaikkan aliran pelaburan, aktiviti perdagangan dan modal insan. Cadangan ini akan mengukuhkan hubungan dua-hala antara Malaysia dan Singapura, serta menggalakkan pertukaran idea merentas sempadan.
KL20: Meletakkan Kuala Lumpur sebagai ekosistem syarikat pemula 20 teratas global
KL20 adalah satu visi untuk menawarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi ‘startup’ digital yang dinamik dan, sebagai satu pusat rangkaian hubungan ‘startup’ yang aktif. Sebagai destinasi pelabur-pelabur terbaik dunia, pengasas-pengasas ‘startup unicorn’, dan ‘thought leaders’, disambut dengan sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik yang progresif, Kuala Lumpur akan menjadi medan penghasilan segmen pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara.
INTAN: Melonjakkan pertanian pintar dan berdaya maju
INTAN, salah satu program di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah pendekatan lengkap untuk mengurangkan kemiskinan melalui pemberdayaan, bertumpukan kepada pemodenan pertanian dan penggalakkan pertanian pintar. Sejak Februari, INTAN telah memulakan 12 projek dan membuka lebih daripada 915.5 ekar tanah. Dalam tahun-tahun akan datang, matlamat INTAN adalah untuk membuka beberapa ribu ekar tanah lagi dan juga melaksanakan inisiatif pembangunan modal insan untuk menaik tarafkan peserta ke amalan pertanian pintar. Ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kestabilan makanan negara dan membina pendapatan yang mampan untuk rakyat.
Dasar Gaji Progresif: Mempertingkatkan pasaran buruh yang lesu
Dasar Gaji Progresif adalah dasar yang boleh diterima pakai secara sukarela dan berasaskan insentif. Matlamat dasar ini adalah untuk mengatasi masalah gaji pekerja yang rendah dan tidak berganjak bertahun-tahun dengan membantu pekerja untuk mempertingkatkan kemahiran diri. Dasar dan garis panduan mengamanahkan kepada majikan untuk memberi ganjaran yang setimpal dengan produktiviti, akan juga mewujudkan pasaran buruh yang lebih saksama, seiring dan saling melengkapi dasar gaji minimum sedia ada.
PADU: Membolehkan pengunaan data bersepadu dan lengkap untuk tujuan analisa
PADU ialah pangkalan data bersepadu yang menggabungkan pelbagai set data daripada sumber-sumber yang berbeza untuk meningkatkan kebolehcapaian dan integrasi data. Pangkalan data bersepadu ini akan menjadi asas untuk menghasilkan pelbagai program bersasar seperti pemberian bantuan subsidi kepada golongan yang paling memerlukan, ke arah pembaharuan kebajikan sosial.
Subsidi bersasar: Membentuk masa depan yang saksama dan mampan
Misi dasar subsidi bersasar adalah untuk membawa pendekatan yang lebih adil dan mampan dalam pemberian subsidi. Ketua Audit Negara melaporkan belanja subsidi sebanyak RM55.4 bilion, di mana golongan T20 (20% terkaya) menikmati lebih daripada 50% subsidi bahan api. Anjakan dasar di mana subsidi disasarkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan boleh mengurangkan beban fiskal negara, memberi lebih ruang untuk pelaburan pembangunan dan pembiayaan program-program kebajikan sosial yang lebih bersasar.
Akta Anti-Ali Baba: Keadilan dan kecekapan ekonomi
Akta ini bertujuan untuk membenteras tingkah laku Ali Baba (“rent-seeking”) dalam bidang-bidang seperti perolehan kerajaan yang merugikan kerajaan hampir RM18 bilion setahun. Ini akan memastikan keadilan, ketelusan, dan kecekapan dalam aktiviti ekonomi. Peningkatan budaya saingan yang sihat dan anti-rasuah di kalangan pengurus perniagaan dan usawahan, akta ini akan membentuk ekonomi yang lebih adil, mampan dan sekaligus memperkukuhkan daya saing negara di pentas dunia
INSAN: Keusahawanan untuk semua lapisan masyarakat
INSAN adalah salah satu program di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan untuk membuka peluang keusahawanan untuk golongan miskin tegar. Dengan adanya mesin jualan automatik yang lengkap di lokasi-lokasi strategik yang dibiayai oleh pihak kerajaan, para peserta B40 boleh mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih cepat dan mudah. Pemberian geran dan sokongan melalui INSAN akan mengurangkan beban kewangan dan membuka peluang ekonomi para peserta.
IKHSAN: Memberdaya dengan martabat
IKHSAN, salah satu program di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan untuk membentuk masyarakat yang bermartabat. Inisiatif in memberi tumpuan untuk membantu peserta B40, dengan memberikan mereka peluang untuk menjana pendapatan daripada aktiviti penyelenggaraan kemudahan awam. Bantuan tambahan pendapatan bulanan dan gaji minimum memastikan pendapatan yang lebih baik kepada semua peserta. IKHSAN juga bertujuan untuk membuka peluang pekerjaan untuk para peserta dengan cara yang lebih inklusif dan adil.
INNOVATHON: Memupuk budaya inovasi dalam kalangan masyarakat
INNOVATHON ialah satu rancangan realiti TV yang bertujuan untuk memberi satu platform kepada rakyat Malaysia untuk membawa kehadapan idea-idea kreatif dan inovatif yang boleh menyelesaikan isu sosio-ekonomi. Bakat-bakat usahawanan yang novatif diketengahkan untuk memupuk keyakinan diri usahawan generasi masa hadapan,dan sebagai suber inspirasi untuk mereka menyumbang idea-idea baru yang boleh membantu masyarakat.
Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDL): Peneraju transformasi digital
EDL memberikan latihan kemahiran kepimpinan dan pengetahuan ekonomi digital kepada pemimpin sektor awam dan swasta untuk berkembang maju dalam ekonomi digital. Program inovatif Asia School of Business dan MIT, bersama firma teknologi global seperti Google, Microsoft, Amazon, dan Sea Ltd, adalah bertujuan untuk memangkin penggunaan digital di Malaysia. Penglibatan lebih 50 pemimpin dari sektor awam dan swasta dalam kumpulan pertama EDL bersama PADU dan GOVTECH akan mempercepatkan transformasi digital negara.
IKR: Memanfaatkan projek berskala kecil untuk mempertingkatkan kehidupan harian rakyat
Inisiatif ini memperkenalkan proses permohonan untuk pembiayaan projek infrastruktur berskala kecil di bawah RM200,000. Pendemokrasian pembiayaan untuk memperbaiki infrastruktur kehidupan harian, membolehkan para penduduk setempat menangani isu-isu kawasan setempat yang terabai . Inisiatif ini juga bertujuan untuk memupuk kembali budaya kerjasama dan semangat gotong-royong penduduk setempat.
Academy in Industry (AiI): Pekerja Malaysia mahir dan berdaya saing
Academy in Industry (AiI) bermatlamatkan membentuk pekerja Malaysia yang mahir dan berdaya saing. Program ini memberikan peluang kepada graduan SPM untuk memasuki pasaran pekerjaan sebagai pekerja mahir, lengkap dengan sijil kemahiran dalam masa 18 bulan. Projek rintis telah menarik minat 200 syarikat pengilang antarabangsa bagi membuka ruang kepada belia khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
AGENSI DI KEMENTERIAN EKONOMI